PUTRAJAYA: Malaysia menggesa negara-negara yang telah menggantung sumbangan mereka untuk meneruskan semula bantuan kewangan mereka kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA). Agensi itu berfungsi sebagai talian hayat penting bagi rakyat Palestin yang dikepung, menurut Kementerian Luar.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu yang dikenali sebagai Wisma Putra berkata Malaysia mengalu-alukan keputusan beberapa negara untuk menyambung semula sumbangan mereka kepada UNRWA.

"Adalah penting bagi negara-negara untuk menilai semula keutamaan mereka dengan Israel, memandangkan tindakannya yang keji dengan mengorbankan rakyat Palestin," katanya.

Kementerian itu berkata Malaysia mengalu-alukan hasil siasatan Laporan Akhir Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi "Independent Review of Mechanismsand Procedures to Ensure Adherence by the United Nations Relief and Works Agency forPalestine Refugees in the Near East (UNRWA) to the Humanitarian Principle of Neutrality".

Menurut kenyataan itu, laporan tersebut menolak dengan tegasnya tuduhan Israel yang mengaitkan penglibatan kakitangan PBB dengan organisasi pengganas.

"Israel secara berterusan menyebarkan propaganda penipuan, tipu daya dan gambaran yang salahmengenai fungsi dan aktiviti-aktiviti UNRWA.

"Tuduhan yang tidak berasas oleh Israel bukan sahaja memburukkan reputasi Agensi berkenaan, malah telah menyebabkan beberapa negara penyumbang menggantung sumbangan kewangan mereka kepada UNRWA," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Kumpulan Penilai Bebas ini telah ditubuhkan oleh Setiausaha Agung PBB pada 5 Feb 2024 untuk menyiasat dakwaan Israel ke atas kakitangan UNRWA yang kononnya terlibat denganserangan pada 7 Okt 2023.

Pada Isnin, Agensi Anadolu melaporkan Kumpulan Penilai Bebas itu mendedahkan bahawa Israel masih belum mengemukakan sebarang bukti berhubung dakwaan kakitangan agensi itu terlibat dengan kumpulan pengganas.

Menurut laporan media, UNRWA ditubuhkan oleh Perhimpunan Agung PBB lebih 70 tahun lalu untuk membantu rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal secara paksa dari tanah mereka.

Agensi itu menyediakan sokongan penting kepada berjuta-juta pelarian Palestin di Semenanjung Gaza, Tebing Barat, Jordan, Lubnan, Syria dan kawasan lain yang sejumlah besar rakyat Palestin berdaftar menetap.

-- BERNAMA